Ahad, 11 Oktober 2009

Berkahwin Pahala, Kukuh Iman

( Entry khas untuk wanita, lelaki baca entry nie tak salah pun... ;-) )

Berkahwin Pahala, Kukuh Iman

Anda perlu buka lorong untuk jodoh mudah sampai


Benarkah jodoh bagaikan menanti jambatan untuk ke seberang? Kalau panjang jambatannya, jauhlah perjalanannya namun andainya jambatan itu pendek, barangkali cepat jodohnya.

Ada orang cepat bertemu jodoh sebab jambatannya singkat.

Usia 25 tahun rasanya belum terlalu lewat untuk bertemu jodoh. Mereka yang berusia 35 tahun pula tidak gundah jika sepanjang usia berkenaan digunakan untuk membina kecermelangan.

Bahkan ada yang sudah mencecah 40-an, tetapi jodoh belum juga tiba.

Namun, tidak berputus asa menjadi asas terbaik buat wanita. Jika terlalu memikirkan soal jodoh sehingga menggangu perasaan, ia bukanlah sesuatu yang baik.


Baik wanita yang berpandangan jauh, boleh saja menyatakan pada diri bahawa ia semua ketentuan takdir dalam soal rezeki, jodoh, mahupun ajal.

Katakan kepada diri bahawa jodoh anda mungkin belum sampai lagi.

Nyatakan perasaan dan keinginan anda itu dalam doa lewat sembahyang. Allah Maha mendengar.

Selain itu, beberapa perkara perlu difikirkan untuk renungan wanita yang belum bertemu jodoh.

Ingatlah wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat.


Biar lambat jodoh asalkan mendapat lelaki sejati dan biar seorang diri daripada menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman suatu hari nanti.


Persoalannya, apakah anda sudah bersedia memikul tanggungjawab bergelar isteri atau ibu? Sudahkah bersedia menjalani pelbagai rintangan hidup berumahtangga?

Berikut adalah falsafah dan firasat mengenai jodoh serta hidup berpasangan buat renungan mereka yang enak dibuai perasaan:

Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat itu dan ini. Hakikatnya, apabila kita benar-benar mendapat apa yang diingini, ia juga datang bersama masalah.


Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada, tetapi deritanya datang bersama. Semua benda, pasti ada baik buruknya. Ia baik sebab ramai orang yang berkahwin hidpunya semakin tidak terurus.


Ramai orang menempah neraka sebaik saja melangkahkan kaki ke alam berumah tangga. Bukankah menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang banyak juga terpaksa dipikul? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka?


Berapa ramai yang menyesali perkahwinan masing-masing pada hal dulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih, malah ada yang sanggup berkorban apa saja asalkan segala impian menjadi nyata?


Jika tidak sanggup untuk bergelar isteri, tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk bergelar ibu ataupun ayah, belajarlah dulu. Jika rasa belum bersedia untuk bersabar dengan kerenah anak-anak, carilah dulu kesabaran itu. Jangan berkahwin dulu sebab hakikatnya, ramai yang tidak bersedia untuk melangkah, tetapi sudah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.


Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti tuntutanya. Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman, mencintai tuhan dan menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan daripada ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan - bagi yang mengetahui rahsianya.

Berkahwinlah anda demi Tuhan dan Nabi bukan berkahwin kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu risau anda membuka lorongnya supaya jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang.



Harian Metro
Susunan Noriah Idris
Khamis, 4 Disember 2008






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sekarang anda boleh buat ulasan disini.

babab.net